Penganut Buddha serah 80,000 topeng muka

KUCHING: Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak bersama-sama penganut Buddha lain menyumbang sejumlah 80,000 topeng muka kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, semalam.

Menurut kenyataan medianya, sumbangan itu bagi membantu aspek kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan di negeri Sarawak. “

Sumbangan ini merupakan hasil kutipan beberapa persatuan dan penganut Buddha di negeri ini sebagai inisiatif menyokong kerajaan dalam memerangi wabak ini.

“Hal ini (sumbangan) untuk melancarkan usaha pihak berkaitan dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19.”

Di samping itu, orang ramai turut dinasihati untuk memberikan kerjasama yang menyeluruh dalam membanteras penularan wabak ini daripada terus berleluasa.

Tambah kenyataan itu lagi, masyarakat turut digesa untuk kekal patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi meringankan beban tugas pihak berkuasa.

Diharapkan dengan kerjasama semua pihak, negara akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera seterusnya memulihkan keadaan seperti sediakala.

“Oleh itu, amat ditegaskan semua pihak mengamalkan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan sebagai langkah keselamatan masing-masing.”

Sumbangan itu diserahkan oleh Naib Pengerusi Persatuan Buddha Cawangan Sarawak Lim Teck Hee kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Sri Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir.