ARTIKEL

Pengarah, penerbit filem Mentega Terbang didakwa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, tahun lepas.

Bagaimanapun, Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan Tan Meng Kheng, 36, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mereka didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari 26 Feb 2023.

Mohd Khairianwar, yang juga penulis skrip, dan Tan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

“Pihak kami juga memohon perintah larang suara supaya kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang komen atau kenyataan secara umum mengenai inti pati kes sehingga kes ini selesai,” kata Abdul Malik.

Peguam N. Surendran, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan rendah dan membantah permohonan larang suara atas alasan tiada bukti menunjukkan kenyataan anak guamnya sebelum ini telah mengganggu perjalanan kes.

Kedua-dua mahkamah membenarkan Mohd Khairianwar dan Tan masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM6,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan serta menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem itu, yang ditayang menerusi platform penstriman video, telah mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

2,338 menara telekomunikasi siap dibina

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,338 menara telekomunikasi baharu daripada 3,884 yang dirancang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menaik taraf jaringan jalur lebar di seluruh

67 peratus responden setuju PLKN diwujudkan semula

KUALA LUMPUR: Sebanyak 67 peratus daripada 2,633 responden bersetuju dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) susulan tinjauan umum yang dilaksanakan sejak 24

Pencalonan Anugerah Sastera Negara kini dibuka

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara Ke-16, khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan, kini dibuka mulai semalam hingga

BERITA TERBARU

Premis makanan dipantau supaya sentiasa bersih, selamat

SIMANGGANG: Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman mempergiatkan pemantauan terhadap premis makanan sekitar Simanggang bagi memastikan pengusaha mengutamakan aspek kebersihan terbaik.

128 rumah di Tasik Biru dapat bekalan air bersih

BAU: Sebanyak empat kampung melibatkan 128 buah rumah di konstituensi Tasik Biru bakal menikmati bekalan air bersih pada pertengahan tahun ini. Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai