TEMPIAS hujan mengenai papan wajahnya. Pak Lang Akob termangu-mangu di muka pintu.
Sudah sejam dia duduk di situ.
Tidak bergerak bagaikan patung cendana.
“Entah bila nak sampai Leha ni,” getus hatinya.
Hujan turun mencurahcurah.
Leha satu-satunya cahaya mata Pak Lang Akob bersama-sama gemulah isterinya. Tinggal sendirian di rumah membuat hatinya tidak keruan.
“Ah… bosan aku menunggu begini,” keluhnya lagi.
Tanpa berlengah, dia mencapai topi kaledar.
Motosikal lama itu menjadi peneman ke sana ke mari.
Banyak jasa motosikal itu kepadanya.
Sejak zaman bercinta dengan gemulah isteri hingga zaman persekolahan Leha, motosikal itu tidak pernah berehat.
Meskipun hujan masih belum reda, dia nekad ke warung Lebai Munir, sahabat karibnya sejak dulu.
“Apa hal kamu ke sini?” Lebai Munir memandang kehairanan.
Lain benar tingkah sahabatnya itu.
Sanggup basah kuyup meredah hujan.
Pak Lang Akob buat tak endah.
Dia hanya mencebik bibirnya.
“Aku bosan duduk di rumah menunggu Leha.
Janji petang ni dia nak balik,” jawabnya perlahan.
Lebai Munir hanya menggeleng. Dia masak benar dengan perangai sahabatnya itu yang panas baran dan mudah merajuk.
Sejak berkahwin, Leha sudah jarang-jarang menjenguk ayahnya di kampung.
Dia mengikut suaminya tinggal di Kuala Lumpur.
“Hujan dah teduh, aku nak ke kebun.”
Dia bingkas bangun lalu beredar segera.
Lebai Munir terpinga-pinga. Dia melihat jam di tangannya. Sudah hampir waktu Asar.
Dia bergegas mahu ke masjid. Warung kopinya ditutup sementara, sempena Ramadan.
Namun, hatinya masih tertanya-tanya akan perangai Pak Lang Akop yang tiba-tiba berubah laku. Biasanya dia ke kebun pada waktu pagi atau selepas Asar.
“Hmmm… mungkin merajuk orang tua tu,” bisik hatinya.
Azan Maghrib kedengaran berkumandang.
Lebai Munir mundar-mandir di beranda masjid.
Tiada kelibat Pak Lang Akob di situ.
Dari jauh kelihatan Leha terkocoh-kocoh menuju ke arahnya.
“Pak lebai, ayah tiada di rumah.
Pintu dan tingkap terkunci rapi.
Menurut jiran sebelah, ayah dah lama keluar.
Mungkin dia berbuka puasa di sini,” ujar Leha sambil membawa mangkuk tingkat.
Belum sempat Lebai Munir menjawab, Leha melangkah masuk ke ruang masjid.
Matanya melingas mencari susuk tubuh ayahnya.
“Kenapa lambat sampai, ayah kau sudah lama menanti di rumah.
Petang tadi dia singgah ke warung aku.”
“Kereta suami Leha rosak di tengah jalan,” balasnya dengan wajah yang cuak.
Dia mula risau dengan perkhabaran Lebai Munir.
“Beginilah, kamu berbuka dulu. Selepas solat Maghrib kita cari dia.
Doakan semoga ayah kamu selamat.”
Lebai Munir cuba meredakan perasaan Leha yang mula gelisah.
Leha sudah tidak senang duduk.
Niat hatinya berbuka puasa bersama-sama ayah tidak kesampaian.
Tiga bulan dia tidak pulang kampung.
Sejak berbadan dua, Leha tidak ligat seperti dulu.
Dia sering keletihan dan tidak tahan berdiri lama. Hatinya kian berlagu pilu.
Malam semakin mencengkam, awan hitam terlihat murung.
“Pak lebai, kami jumpa motosikal Pak Lang Akob,” teriak Haiqal dari laman masjid.
Jemaah berkerumun bagaikan semut menghurung gula.
Lebai Munir dan Leha saling berpandangan.
Leha hampir jatuh terjelepok, mangkuk tingkat terlepas daripada tangannya.
Pengat pisang durian habis tertumpah ke lantai.
“Bulan puasa nanti buatkan ayah pengat pisang durian ya,” ucap ayahnya dua minggu lalu ketika berhubung di telefon.