Pengawal keselamatan maut, motosikal bertembung lori

LIMBANG: Hasrat untuk turun bekerja tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di sini, pagi tadi.

Khairul Azhar Arif, 25, seorang pengawal keselamatan yang dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah saudaranya, maut setelah motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori membawa batu di kawasan berhampiran Jabatan Penjara.

Kemalangan sekitar pukul 8 pagi itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah diberapa bahagian badan.

Menurut saksi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 Lc itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah sekolah rendah di sini dari flat penjara (rumah saudaranya).

Katanya, apabila tiba ditempat kejadian, motosikal mangsa tergesel dengan kereta lain semasa hendak memotong sebelum motosikal ditunggangnya hilang kawalan.

“Mangsa kemudiannya rebah lalu digilis oleh sebuah lori membawa batu dari arah bandar menuju ke Tedungan.

“Difahamkan pemandu kereta dan lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Limbang untuk proses bedah siasat.

Selesai bedah siasat, jenazah akan dibawa pulang di tempat kediamannya di Kampung Patiambun sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kudung.

Kejadian disahkan oleh Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi hari ini.