MUKAH: Seorang pengawal keselamatan ladang maut setelah motosikal jenis Yamaha ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di KM9, Jalan Mukah-Balingian, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.17 pagi ketika mangsa, lelaki berumur 75 tahun dalam perjalanan keluar simpang dari arah Kampung Jebungan ke Balingian.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang bergerak lurus dari arah Balingian menuju ke arah Mukah telah melanggar motosikal yang ditunggang mangsa yang secara tiba-tiba keluar dari simpang lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami cedera parah di bahagian muka dan patah kaki kanan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Hospital Mukah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Sementara katanya, pemandu pacuan empat roda, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
