Pengawal pantai Sarawak elak ancaman luar

Pengawal pantai dijangka beroperasi mengawal pantai Sarawak bermula 2020 setelah kemudahan dan aset diperlukan terutama bot sudah tersedia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya tiga bot bagi melindungi kawasan pantai di negeri ini.

Setiap bot mempunyai 12 awak-awak, ini bermakna terdapat 36 krew beroperasi mengawal pantai pada permulaan ini.

“Kita menubuhkan pengawal pantai sendiri. Pakar menilai bot dari segi kelengkapan seperti bot polis yang terkenal dengan kelajuannya,” kata Abang Johari.

Abang Johari mengumumkan langkah berkenaan dengan peruntukan RM90 juta ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020 pada 4 November lalu bagi membentuk pengawal pantai negeri.

Pasukan ini turut menjaga keselamatan bot nelayan di kawasan pesisir.

Kerajaan Sarawak bakal meminda Ordinan Perikanan Sarawak 2003 yang turut mengembangkan dan memperbaiki fungsi perkhidmatan pengawal pantai di negeri ini.