Pengedar dadah diserbu

KUCHING: Seorang remaja antara empat individu yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Remaja lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan itu ditangkap dalam serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Kota Samarahan di rumahnya sekitar jam 11.05 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata pemeriksaan mendapati suspek yang juga penganggur memiliki dadah jenis syabu seberat 7.72 gram yang dianggarkan bernilai RM750.

“Suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau didapati positif dadah jenis syabu dan kini dalam proses permohonan reman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala dalam serbuan berasingan juga oleh pasukan BSJN Kota Samarahan, Hasnir berkata tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita China kerana memiliki 10 biji pil ekstasi seberat 6.29 gram.

Katanya kedua-dua suspek, yang berusia 34 tahun dan 25 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Lorong Uni Central, Kota Samarahan sekitar jam 2.30 petang semalam.

“Saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah. Kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah lampau ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan dan dalam proses permohonan reman,” katanya.

Sementara itu, Hasnir berkata seorang lagi penganggur berusia 22 tahun ditahan dalam serbuan sekitar jam 4 petang semalam oleh pasukan JSJN Sarawak di Jalan Bako, Sibu kerana memiliki syabu seberat 17 gram yang dianggarkan bernilai RM2,550.

“Pemeriksaan badan suspek tidak menjumpai sebarang dadah. Seterusnya semasa pemeriksaan dibuat di keretanya, suspek dengan sendiri telah mengambil bungkusan dadah yang diikat di bawah kereta tersebut dan menyerahkannya kepada pasukan serbuan,” katanya.

Katanya suspek yang negatif dadah ditahan di lokap Balai Polis Sentral Sibu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Hasnir berkata semua kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun termasuk hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan atau tidak melebihi sembilan sebatan.