Pengedar dan pelanggan dadah dicekup

KUCHING: Seorang pengedar dadah bersama pelanggannya dicekup dalam serbuan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di KMC Flat, Jalan Ban Hock di sini.

Kedua-dua suspek adalah berumur 45 dan 47 tahun, masing-masing sudah berkahwin.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pasukan JSJN Sarawak telah menyerbu rumah suspek yang disyaki mengedar dadah di Flat KMC sekitar jam 1.15 petang Rabu lalu.

“Pemeriksaan pada ruang tamu menjumpai 12 paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu, dianggarkan seberat 5.48 gram bernilai RM600,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hasnir, seorang lagi suspek kemudian ditahan apabila datang ke rumah berkenaan dipercayai untuk mendapatkan bekalan dadah.

Katanya kedua-dua suspek yang juga memiliki rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis syabu dan amfetamin, kini ditahan di pejabat JSJN Sarawak untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata mereka kini dalam proses permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi lima tahun termasuk sebatan tidak kurang tiga kali atau tidak melebihi sembilan kali.

Hasnir turut menyampaikan penghargaan atas keprihatinan masyarakat dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Dadah yang dirampas daripada suspek di Flat KMC, Kuching.

Suara Sarawak