Pengedar mengaku jual dadah dalam talian

KUCHING: Dadah kini boleh dibeli secara dalam talian sebelum dijual di premis hiburan di sekitar Daerah Kuching.

Itu pengakuan yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 22 tahun selepas aktiviti pengedaran dadahnya berjaya dihidu pihak berkuasa dalam Op Bersepadu semalam.

Menurut Ketua Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhasaan berkata, ketika pemeriksaan ke atas suspek pada jam 5.45 pagi di Jalan Penrissen, polis mendapati dadah di dalam beg sandangnya.

“Kita menemui 12 peket dadah daripada pelbagai jenis bersama sembilan pil ekstasi.

“Suspek mengaku dadah terbabit adalah kepunyaannya untuk dijual kepada pembeli di premis hiburan di sekitar Kuching,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Aidil, suspek mula terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak enam bulan lalu dan mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Lelaki Cina yang beralamat di Jalan Rock itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(1), 12(2) & 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya.