Pengesanan secara aktif di Sibu berjalan lancar

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh memuji warga Sibu yang bersungguh-sungguh mahu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Ini terbukti, kata beliau, apabila pengesanan kes secara aktif (ACD) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dua venue iaitu di Taman Tasik Permai dan Taman Rimba Bukit Lima di sini hari ini.

“ACD di Taman Tasik Permai adalah untuk Zon 28 Permai dan Zon 29 Jeriah manakala di Taman Rimba Bukit Lima adalah untuk Zon 15 Sentosa.

“Ketiga-tiga zon tersebut merupakan zon merah di kawasan pentadbiran MPS. Kami sekarang menggunakan strategi pengezonan untuk memerangi penularan di Sibu.

Bagi satu lagi zon merah iaitu Zon 7 Tiong Hua, ianya sudah selesai ACD semalam (ACD). Kita menjangkakan keputusan mereka dicalit akan dikeluarkan hari ini ataupun esok,” kata Ting ketika ditemui semasa meninjau ACD Zon 28 Permai dan Zon 29 Jeriah yang diadakan di Taman Tasik Permai.

Mengulas mengenai ACD di kedua-dua zon tersebut, Ting turut memberitahu bahawa pihak penguatkuasa seperti polis, rela, askar dan yang lain turut berada di lokasi bagi memantau kehadiran orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Hari ini kita lihat orang ramai berbaris panjang dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kita menjangkakan lebih dari 350 penduduk yang hadir sejak kaunter ACD ini dibuka pada jam 10 pagi tadi.

“ACD ini juga akan dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 2 petang,” jelas beliau bahawa kaunter ACD itu dibuka untuk dua hari sahaja.

Mengenai ACD Zon 15 Sentosa yang diadakan di Taman Rimba Bukit Lima, beliau menjelaskan bahawa senarionya turut sama dengan di Taman Tasik Permai.

Menurut Ting, kehadirannya membabitkan lebih dari 300 orang yang berbaris panjang sehingga 200 meter sejak kaunter ACD dibuka mulai jam 10 pagi.

“Setakat pagi tadi kehadirannya amat memberangsangkan. Tak apa, kalau tak sempat esok boleh datang lagi. Kaunter ACD ini akan dibuka dari jam 10 pagi sehingga jam 2 petang selama dua hari juga iaitu esok adalah hari terakhir.