KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) mungkin masih duduk di kerusi pembangkang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual pada November nanti, meskipun akan bergabung dengan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata ia kerana buat masa ini, usaha penggabungan PSB dan PDP belum mendapat pengiktirafan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menjelas lanjut, beliau berkata walaupun pengaturan tempat duduk ADUN di dalam dewan adalah terletak pada budi bicara Speaker, namun beliau tidak dapat membuat sebarang keputusan terlebih dahulu kerana ia bergantung kepada keputusan GPS.
“Kini ia bergantung sama ada penggabungan itu diiktiraf dan dibenarkan oleh GPS yang memerintah, jika ia tidak dibenarkan maka status quo kekal.
“Jika ia dibenarkan dan mereka semua (ADUN PSB) diambil sebagai ahli GPS maka saya perlu menyemak susunan tempat duduk mereka,” katanya pada sidang media di Kompleks DUN, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai penyusunan semula tempat duduk ADUN dari PSB, susulan penggabungan parti itu dengan PDP untuk menjadi sebuah parti menjelang Disember tahun ini.
Sebelum menjalin kerjasama dengan PDP yang merupakan salah sebuah parti komponen GPS, PSB adalah parti pembangkang tempatan.
Malah dalam persidangan DUN sebelum ini, tempat duduk ADUN dari PSB diletakkan bersama-sama Parti Tindakan Demokratik (DAP), termasuk ADUN bebas See Chee How.
Malah parti itu yang diterajui oleh bekas Menteri Kewangan Kedua Kerajaan Sarawak selama 15 tahun, Dato Sri Wong Soon Koh turut menerajui kem pembangkang kerana mempunyai tiga ADUN manakala DAP mempunyai dua ADUN.