SEBUT sahaja kubur, ada yang tidak senang duduk, dan ramai yang mengelak untuk bercakap tentangnya, terutama pada waktu malam atau ketika di tempat sunyi.
Kubur sinonim dengan suasana suram, kelam, sedih, menakutkan, namun pasti menginsafkan.
Bagi penggali kubur, ia adalah suasana biasa yang diharungi setiap hari.
Namun ada juga yang tidak terkecuali daripada seram sejuk di tengkuk, kerana pernah melalui pelbagai kisah.
“Pada hari pertama bekerja, memang agak gementar dan pasti ada rasa takut,” kata salah seorang penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Samariang.
Namun katanya, dari minggu ke minggu, perasaan itu hilang begitu sahaja.
“Namun ia timbul semula jika ada sesuatu yang pelik berlaku.
Tetapi setelah berapa kali menghadapinya, saya mula yakin dan tidak lagi berasa gementar,” katanya.
Menceritakan pengalaman pertama, beliau menjelaskan; pada suatu petang yang agak gelap dan hujan renyai-renyai setelah selesai pengebumian.
“Sebaik semua ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat handai dan penduduk kampung meninggalkan tempat perkuburan, saya terdengar suara orang memberi salam dan tiba-tiba terbau wangian… sambil saya terbayangkan sesuatu, saya pun menoleh, namun tidak kelihatan, suara seakan-akan dari liang lahad orang yang baru dikebumikan.
“Saya pun terus mengemaskan kawasan tersebut, dan membaca surah Al-Fatihah kepada arwah, disertakan doa.
Perasaan saya ketika itu agak gementar, namun demi tugas saya beranikan diri, terus berdiri dekat kubur tersebut.
Dua hari kemudian, salah seorang penduduk kampung memberitahu saya bahawa arwah ialah bekas imam dan sentiasa aktif mengurus hal ehwal masjid,” ujarnya.
“Itu pengalaman awal, yang kedua saya seakan-akan terlihat seperti seseorang yang menangis di atas kubur, dan lesap begitu sahaja selepas 10 saat.
Kejadian tersebut agak menakutkan… dan saya demam dua hari selepas itu, mungkin hanya kebetulan, atau petunjuk kepada saya,” katanya.
Sementara itu, di zon tengah Sarawak, yang tanah perkuburannya berpasir, penggali kubur berusia 65 tahun turut mengalami pengalaman luar biasa.
“Selalunya saya mengambil masa sekitar 50 minit hingga lebih satu jam untuk menggali satu liang, namun pada suatu hari kurang 25 minit, sudah siap.
Saya merasai bagaikan ada ‘kuasa tambahan’ dalam diri saya, cergas dan kuat.
Malah liang yang saya gali mengeluarkan bau harum semerbak,” ujarnya.
“Saya amat hairan, lalu saya pun bertanya kepada ahli keluarga… siapakah gerangan arwah tersebut, rupa-rupanya arwah ialah guru agama, yang menjadi rujukan penduduk kampung, dan penduduk kampung berdekatan.
Arwah amat disenangi penduduk, suka bersedekah dan sentiasa lembut tutur kata,” ujarnya.
Menurut Pak Cik tersebut, pelbagai kisah luar biasa sepanjang lebih 30 tahun menggali kubur, namun beliau menganggap ia hanyalah asam garam, cabaran dan rutin yang perlu dihadapi.
“Yang baiknya, sebagai penggali kubur, saya tidak lekang membaca surah Al-Fatihah, serta pelbagai zikir setiap kali memasuki pekarangan tanah perkuburan.
“Yang pasti, ia sentiasa mengingatkan saya tentang kematian setiap kali turun menggali,” katanya lagi. Sementara itu, katanya pernah berlaku, ketika penggali kubur memindahkan beberapa tapak kubur… sekujur tubuh yang masih elok, sama seperti ketika baru hendak dimandikan, walaupun sudah lebih 20 tahun dikebumikan.
Menurutnya, arwah merupakan guru mengaji yang sentiasa berdampingan dengan al-Quran, serta pemurah dan suka menolong orang.
Yang pasti, pelbagai kisah dialami penggali kubur, pekerjaan yang mulia di sisi agama Islam, kerana membantu memudahkan urusan pengebumian. Ia bukanlah cerita baharu, namun kisah turun-temurun.
Namun ia tidak begitu dihebohkan, terutama cerita kurang sedap didengar, demi menjaga maruah arwah dan ahli keluarga.
Misalnya, 1,400 tahun yang lalu, Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya melintasi sebuah kawasan perkuburan.
Rasulullah SAW berhenti di salah sebuah, kubur, dan menyuruh sahabatnya memetik secebis daun pohon kurma, di kawasan tersebut, dan meletakkan di atas kubur tersebut.
Sahabat pun hairan, Rasulullah SAW pun memberitahu; “Saya mendengar jeritan dan pekikan dari kubur tersebut… oleh itu letakkan daun kurma di atas kuburnya, atau apa-apa tumbuh-tumbuhan atau daun, kerana ia boleh berzikir untuk arwah sehingga ia kering (daun)”.
Selepas itu, tiada lagi kedengaran jeritan. Rasulullah SAW dianugerahkan dengan kelebihan, mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh manusia biasa (Diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah SAW).
Oleh itu kita digalakkan untuk menanam bunga, rumput atau pokok kecil di atas kubur, untuk ‘berzikir’.
Elak mencabut rumput yang tumbuh di sekitarnya. Selain itu, boleh juga diletakkan batu sungai atau batu jeram kerana ia jenis batu yang hidup, dikatakan ada ‘bisikan’ dan ia boleh berzikir sepanjang masa.
Menurut Perangkawan Malaysia, sebanyak 173,746 kematian dicatatkan pada 2021, berbanding sebanyak 172,031 kematian dicatatkan pada 2020.
Perubahan tersebut selari dengan peningkatan jumlah penduduk tua di Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas iaitu daripada 1.4 juta orang pada 2010 kepada 2.3 juta orang pada 2021.
Kadar kematian kasar pula kekal pada 5.3 kematian bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Oleh itu, beberapa buah negara di dunia mengalami kekurangan tanah untuk pengebumian.
Di Tanah Perkuburan Samariang Kuching sekarang ini, hanya boleh menampung pengebumian sekitar lima tahun akan datang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Wahap Abang Julai, sebahagian besar tanah perkuburan di Samariang sudah mencapai 70 peratus dan secara purata lapan jenazah dikebumikan setiap hari.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan bahawa beliau sudah meluluskan tanah di kawasan tersebut untuk diperbesar.
Berdasarkan perangkaan, ia dapat menampung keperluan masyarakat Islam hingga 2050. Menurut Abang Johari, usaha turut dilakukan untuk mencari tapak perkuburan bagi masyarakat Islam di bahagian lain.
Turut didirikan ialah Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching yang menelan kos RM5.6 juta, dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk tempat pengurusan jenazah, pejabat pengurusan tapak kubur serta tempat menunggu.
Tanah Perkuburan Islam Samariang mula dibuka pada 1982 dan kini menempatkan lebih 18,000 tapak kubur.
Realitinya beberapa kawasan di dunia ini agak kritkal, tiada lagi tanah perkuburan.
Di benua Amerika Selatan, Brazil, misalnya, didirikan bangunan besar beberapa tingkat, menyerupai hotel 5 bintang, sebagai kawasan perkuburan bukan Islam.
Setiap tingkat dipenuhi mayat. Bahagian tingkat atas milik golongan kenamaan atau aristokrat.
Pengebumian di situ cukup mahal, malah ahli keluarga juga perlu membayar sejumlah kos untuk tiga bulan pertama, selepas pengebumian.
Yang pasti, setiap kehidupan manusia akan berakhir dengan kematian. Asal daripada tanah, dan kembali kepada tanah.