ARTIKEL

Kredit: FB Datuk Seri Anwar Ibrahim | BERNAMA

Penggubalan akta kebebasan maklumat, dipersetujui secara prinsip – Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN), secara prinsipnya bersetuju dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, bagi mewujudkan parameter serta garis panduan jelas untuk memberi akses kepada orang awam, mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu, antara yang dibincangkan dalam mesyuarat JKKTN, yang sebelum ini dikenali sebagai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR), dipengerusikan beliau di bangunan Parlimen hari ini.

“Mesyuarat juga mengambil maklum tentang 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023, yang mengemukakan syor-syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

“Kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara, selaras hasrat untuk membangunkan Malaysia Madani,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, malam semalam.

Anwar berkata mesyuarat JKKTN itu, membincangkan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem pentadbiran kerajaan, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, selaras dengan keputusan mesyuarat yang bersetuju secara prinsip dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) juga akan dipinda sewajarnya.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat, dalam proses pembentukan dasar negara.

Selain itu, menurut Pejabat Perdana Menteri, mesyuarat juga bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan, bagi memperkasa tata kelola perolehan kerajaan secara perundangan bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak yang terlibat dalam perolehan kerajaan.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya prinsip ketelusan diambil kira dalam Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang bakal digubal, dengan mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, bagi memastikan anak syarikat yang ditubuhkan di bawah Badan Berkanun ditadbir dengan lebih profesional berlandaskan prinsip-prinsip tata kelola baik, aspek pengawasan perlu diberi perhatian.

“Mesyuarat bersetuju supaya rangka kerja perundangan sedia ada dan baharu, diteliti ke arah pengamalan tata kelola baik dalam kalangan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

BERITA LAIN

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan

BERITA TERBARU