Trending

Penghantar surat khabar maut dilanggar BMW

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Seorang penghantar surat khabar maut selepas dilanggar lari sebuah kereta di Jalan Tun Jugah, di sini sekitar jam 6.15 pagi tadi.

Mangsa, Chong Kui Hin berusia 67 tahun berasal dari Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya.

Mengesahkan kejadian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata lelaki warga emas itu dipercayai dilanggar dari belakang oleh kereta BMW ketika dia dalam perjalanan menuju ke Jalan Lapangan Terbang.

“Mangsa yang terpelanting ke bahu jalan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat dirempuh kereta BMW.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Alexson berkata JSPT sedang memburu pemandu kereta mewah terbabit yang melarikan diri selepas keretanya ditemui ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Kuching Sentral.

Kereta suspek kemudian ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru