KUCHING: Kesemua penghuni bangunan terbiar di Batu 9, Jalan Matang bukan penduduk asal kawasan Petra Jaya, tegas Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Sri Fadillah Yusof.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, sejumlah 15 keluarga keluarga yang menetap di bangunan kedai dua tingkat tersebut adalah orang luar.
“Siasatan Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya mendapati lima keluarga adalah berasal dari Lubok Antu, tiga dari Lundu, tiga dari Sri Aman dan masing-masing seorang dari Kapit, Betong serta Bintawa Ulu.
“Manakala seorang penghuni berusia 33 tahun berasal dari Sabah dan isterinya dari Bandung, Indonesia dikenal pasti sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati),” kata Fadillah dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian menjelas mengenai hantaran di Twitter oleh @apanakdikato pada 3 Julai yang mendakwa penghuni bangunan tersebut berasal dari parlimen Petra Jaya.

Menurut Fadillah, walaupun kesemua penghuni tersebut orang luar, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah beberapa kali menghantar bantuan makanan asas atas dasar perikemanusiaan.
“Tuduhan palsu tersebut adalah amat keterlaluan, berupa fitnah dan tidak bertanggungjawab.
“Biarpun ramai juga penduduk di sini bukan asal Petra Jaya serta bukan pengundi, namun saya tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk kita tidak membantu mereka yang memerlukan bantuan.
“Saya ingin mengajak semua pihak bersama-sama membantu mereka yang memerlukan bantuan dan tidak menjadikan sesuatu isu itu sebagai senjata politik untuk kepentingan diri,” tambahnya.
Terdahulu pada 2 Julai, Suara Sarawak menyiarkan artikel mengenai kesukaran hidup penduduk di bangunan terbiar yang tidak siap tersebut yang dijadikan tempat tinggal pekerja oleh majikan yang merupakan pemilik bangunan itu.
Kesemua mereka memang bukan berasal dari parlimen Petra Jaya dan merupakan pekerja makan gaji hari serta terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun menurut penghuni tersebut, mereka turut menerima bantuan kerajaan seperti bakul makanan BKSS, Tabung Baitulmal Sarawak dan sebagainya walaupun bukan penduduk asal kawasan tersebut.