Pengilang keluar tambahan 400,000 topeng hidung dan mulut sehari

PUTRAJAYA: Pengeluar topeng hidung dan mulut tempatan akan mengeluarkan tambahan 400,000 keping topeng hidung dan mulut (tiga lapis) sehari untuk memenuhi permintaan pengguna dalam mengawal jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jaminan itu diberikan oleh pemain industri semasa sesi pertemuan bersamanya dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dua hari lepas.

“Sebelum ini, 90 peratus pengeluaran tempatan tertumpu kepada produk topeng hidung dan mulut untuk pembedahan dan kegunaan industri, namun susulan penularan penyakit koronavirus, permintaan topeng mulut dan hidung (tiga lapisan) meningkat dengan ketara di pasaran,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya penambahan pengeluaran 400,000 unit produk itu juga secara langsung mampu memenuhi keperluan pengguna sekali gus mengelak kejadian pembelian panik.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati peniaga supaya tidak menaikkan harga kerana topeng mulut dan hidung yang merupakan barang di bawah harga kawalan.

Suara Sarawak