ARTIKEL

Paulus (duduk dua kiri) bersama Qing Jiu (duduk dua kanan) dan Muhammad Iswandy (tengah) menandatangani kontrak cadangan projek pengorekan dan kerja-kerja berkaitan di Batang Baram Delta, Miri sambil disaksikan oleh Uggah (berdiri tengah) serta tetamu kehormat lain. - Foto: Mohd Alif Noni

Pengorekan saluran akses Kuala Baram tingkatkan keupayaan Lembaga Pelabuhan Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek pengorekan untuk mendalamkan saluran akses Kuala Baram akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan semasa Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) bagi memainkan peranan utama sebagai pemangkin kepada aktiviti ekonomi di kawasan Kuala Baram serta Miri.

Pengerusi MPA, Datuk Paulus Palu Gumbang, berkata pada masa sama, projek itu akan membawa pertumbuhan luar biasa kepada pelbagai aktiviti ekonomi di Miri, terutamanya pembinaan kapal serta ekonomi berasaskan kayu, minyak dan gas, selain sektor industri lain seperti pelancongan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Penyediaan saluran akses yang lebih dalam akan membolehkan Pelabuhan Miri untuk merealisasikan kapasiti reka bentuknya dengan jumlah pengendalian sebanyak 3.5 juta tan kargo setahun.

“Pada masa sama, pembangunan aktiviti ekonomi akan dirangsang dengan merealisasikan konsep pembangunan estet perindustrian di Kuala Baram,” katanya pada majlis menandatangani kontrak cadangan projek pengorekan dan kerja-kerja berkaitan oleh MPA di Batang Baram Delta, Miri di sini, hari ini.

Paulus, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, berkata MPA telah merancang untuk mengorek saluran itu sejak Terminal Kuala Baram dibina pada 1996.

Menurutnya, saluran akses cetek ke terminal Pelabuhan Miri di delta Batang Baram telah membantutkan pertumbuhan industri yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Kuala Baram khususnya dan wilayah utara Sarawak amnya.

“Semasa air surut, kedalaman saluran akses di delta adalah kira-kira 0.7 meter ‘Actual Chart Danum’ (ACD) dan pada air pasang hanya kira-kira 3 meter ACD, mengehadkan kapal draf lebih dalam daripada tiga meter untuk belayar ke terminal Pelabuhan Miri,” katanya.

Beliau menambah, ia telah menyebabkan kos pengendalian berganda, kos operasi yang tinggi, kelewatan kapal, masa pusingan kapal yang lebih lama, jadual penghantaran yang tidak tepat serta merisikokan kapal dan aktiviti maritim lain di kawasan tersebut.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata apabila projek itu siap dalam tempoh tiga tahun, ia akan membolehkan industri pembinaan kapal di Miri terus berkembang.

“Kita mempunyai industri pembinaan kapal yang sangat berjaya di Miri tetapi kerana muara sungai yang cetek, kita tidak dapat membina kapal yang lebih besar.

“Jadi sebaik sahaja pendalaman saluran selesai, kita akan dapat membina kapal yang lebih besar,” katanya.

Beliau juga berkata, dengan saluran akses yang lebih dalam, ia juga akan menyumbang ke arah pembangunan industri minyak dan gas di Miri.

“Kita mempunyai kira-kira 3,000 ekar taman perindustrian di Kuala Baram yang dibangunkan lebih 20 tahun lalu tetapi tidak ramai yang berpindah kerana kemudahan pelabuhan yang cetek.

“Apabila projek itu siap nanti, saya pasti ia akan membantu pertumbuhan, terutamanya industri kecil dan sederhana di Miri,” katanya.

Kim Shin menambah industri pelancongan juga akan mendapat manfaat daripada projek itu, kerana kapal persiaran akan dapat belayar ke pelabuhan.

Sementara itu, majlis menandatangani kontrak yang ditandatangani oleh Paulus bagi pihak MPA dengan kontraktor projek yang diwakili Pengarah Urusan China Communications Construction Company (CCCC), Ni Qing Jiu, dan Pengarah Rimbun Prima Sdn Bhd (RPSB), Muhammad Iswandy Bujang, turut disaksikan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Rosey Yunus, dan Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Chiew Chee Yau.

BERITA LAIN

Rujuk status tanah sebelum buat rumah

BINTULU: Penduduk khususnya di rumah panjang perlu merujuk status tanah kepada agensi berkaitan terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan baharu di kawasan yang dikenal pasti. Menteri

BERITA TERBARU