KUCHING: Seramai 25,925 (65.11 peratus) calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Sarawak mencapai tahap penguasaan minimum berbanding 24,848 (61.75 peratus) pada tahun 2018.
Menurut Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad, ini menunjukkan pencapaian penguasaan tahap minimum telah meningkat sebanyak 3.36 peratus untuk UPSR 2019 berbanding pencapaian pada tahun 2018.
Jelasnya, seramai 19,884 orang calon (66.18 peratus) Sekolah Kebangsaan 2019 mencapai tahap penguasaan minimum berbanding 62.44 peratus pada tahun 2018.
Manakala untuk Sekolah Jenis Kebangsaan, seramai 6,041 orang calon (61.81 peratus) telah mencapai tahap penguasaan minimum pada tahun 2019 berbanding 59.65 peratus pada tahun 2018.
“Peningkatan pencapaian tahap minimum UPSR 2019 bagi Sekolah Kebangsaan adalah sebanyak 3.74 peratus manakala bagi Sekolah Jenis Kebangsaan sebanyak 2.16 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seramai 39,818 orang calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menduduki UPSR di Sarawak.
Daripada jumlah itu, seramai 30,044 (75.45 peratus) adalah calon Sekolah Kebangsaan dan seramai 9,774 orang (24.55 peratus) adalah calon Sekolah Jenis Kebangsaan.
UPSR telah dijalankan pada 4 hingga 5 September dan 10 hingga 12 September di 1,285 buah pusat peperiksaan seluruh Sarawak.
Keputusan UPSR 2019 diumumkan di seluruh negara pada hari ini mulai jam 10 pagi.