Penguncian dan SOP lebih ketat di rumah pangsa Sibu Jaya

SIBU: Susulan 100 kes positif Covid-19 semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) sebentar tadi mengambil keputusan untuk memperketatkan lagi tindakan ke atas dua blok rumah pangsa di Sibu Jaya.

Kedua-dua blok rumah pangsa tersebut ialah Blok H dan Blok J yang kini dikunci di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 5 Mac sehingga 11 Mac ini.

Turut dikenakan PKPD ialah rumah pangsa Sibu Jaya di Blok C, K, L, N dan R.

Penyelaras JPBBS Dr Annuar Rapaee berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi menentukan tindakan seterusnya kerana bimbang dengan angka positif yang drastik meningkat di kejiranan berkenaan.

“Kami akan bermesyuarat hari ini untuk menentukan tindakan yang akan diambil.

“Kita juga akan memastikan agar tindakan yang diambil tidak membebankan para penduduknya,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Suara Sarawak