
SARIKEI: Masyarakat di kawasan P.208 Sarikei boleh menilai sendiri rekod cemerlang Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii sepanjang dua penggal memikul tanggungjawab tersebut.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu banyak membawa perubahan menjurus kepada pembangunan pelbagai aspek di Bahagian Sarikei.
Adun Maradong Datuk Ding Kuong Hiing menegaskan, perubahan tersebut jelas memberi gambaran bahawa Huang merupakan individu yang boleh memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjaga dan terpelihara.
“Untuk itu, tunaikan kewajipan anda pada hari pengundian kelak. Buat pilihan yang bijak untuk memastikan pembangunan dapat terus dikecapi selepas ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan Sarikei, malam tadi.
Ding sebelum itu mengajak masyarakat mengimbau sejenak situasi negara ketika dipimpin kerajaan PH sebelum ini yang banyak menimbulkan masalah dan kelemahan.
“Oleh yang demikian, elak musibah sama berulang demi memastikan rakyat dapat menikmati limpahan pembangunan yang dibawa kerajaan GPS,” tambah beliau.