KAPIT: Kurang 24 jam sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) berlangsung esok, para pengundi diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sebagai panduan khas pencegahan Covid-19 .
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengundi-pengundi juga dinasihatkan agar keluar mengundi mengikut masa yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan dengan lancar.
“Ini juga bagi memastikan suasana pengundian yang selamat untuk semua, ketika kita masih berhadapan dengan cabaran wabak pandemik Covid-19.
“Bukan sahaja pengundi, saya juga berharap semua calon termasuk calon GPS mematuhi segala SOP yang telah digariskan,” katanya.
Alexander yang juga ahli Parlimen Kapit berkata, tempoh berkempen selama dua minggu juga telah menunjukkan kejayaan semua pihak mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.
“GPS sering menekankan kepentingan untuk semua pihak termasuk calon-calon supaya sentiasa patuh kepada peraturan dan SOP.
“Meskipun PRN12 ini sesuatu yang dinanti-nantian oleh semua, tetapi keselamatan dan kesihatan rakyat tetap menjadi keutamaan kami.
“Kita telah berjaya mengharungi tempoh berkempen dengan SOP yang ketat disebabkan oleh penularan wabak Covid-19. Jadi saya berharap, kepatuhan ini akan diteruskan esok,” katanya.
PRN-12 Sarawak menyaksikan kesemua 82 kerusi Dun dipertandingkan membabitkan 349 calon daripada 10 parti politik serta calon Bebas.
Di bawah Parlimen Kapit, GPS mempertaruhkan tiga calon iaitu Jefferson Jamit Unyat bagi kawasan Bukit Goram, Wilson Nyabong Ijang (Pelagus) dan satu muka baru, Lidam Assan yang akan bertanding di Dun Katibas.