KUCHING: Pengurus dan penjaga sebuah pusat hiburan di Jalan Tabuan Tranquility, di sini ditangkap kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh sepasukan anggota IPD Kuching kira-kira jam 1 pagi, hari ini.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 kerana premis tersebut gagal mengemukakan lesen perniagaan/ pusat hiburan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan di lokap IPD Kuching dan permohonan reman ke atas mereka telah diluluskan oleh Majistret Mahkamah Kuching selama empat hari bermula 28 April (hari ini) sehingga 1 Mei.
