Pengurusan kewangan Sarawak berhemah

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah kerajaan yang bertanggungjawab dengan sentiasa mengamalkan dan menegakkan prinsip pengurusan kewangan yang berdisiplin dan bertanggungjawab.

Justeru, Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi menyifatkan kenyataan Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun jika ia terus diperintah oleh GPS adalah mengelirukan dan bermotifkan politik.

Ia menegaskan Menteri Kewangan itu harus bertanggungjawab kerana sebarang kenyataan daripadanya akan diambil sebagai isyarat kepada keadaan ekonomi Malaysia.

“Kami akan sentiasa memastikan bahawa kerajaan negeri mempunyai keupayaan untuk membiayai sebarang rancangan atau komitmen yang dilakukan untuk kepentingan rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu menekankan bahawa kerajaan negeri akan terus mengukuhkan pengurusan kewangannya di bawah amalan kerajaan yang baik, disiplin kewangan yang ketat dan berhemat sepanjang masa.

Ia menambah Ketua Audit Negara juga telah mengiktiraf laporan kewangan Sarawak 17 tahun berturut-turut selain agensi penarafan antarabangsa iaitu ‘Moody’s and Standard and Poor’ juga telah mengesahkan semula penarafan kredit pelaburan negeri yang dipuji pada A3 dan A-.

“Pencapaian ini adalah bukti jelas mengenai pengurusan kewangan yang berterusan oleh Sarawak dalam melaksanakan kewangan berhemah dan berdisiplin di semua peringkat,” katanya.

Kementerian juga menegaskan bahawa kerajaan negeri telah mencatatkan lebihan belanjawan selama bertahun-tahun hasil daripada pendapatan yang lebih tinggi daripada perbelanjaan.

Ia mencatatkan rekod terkini yang menyaksikan bajet tahun lalu mencatatkan hasil RM7.2 bilion dengan lebihan sebanyak RM110.1 juta.

“Lebihan anggaran berterusan ini telah membolehkan negeri meningkatkan rizabnya,” ujarnya.

Pada masa sama, kementerian turut menyifatkan kenyataan Lim itu mencerminkan keengganan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) dalam memulihkan status dan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963, yang kini masih dalam rundingan.

Lim pada makan malam mengutip dana Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak semalam berkata negeri ini mungkin bankrap dalam tempoh tiga tahun di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa 3 tahun.

Suara Sarawak