ARTIKEL

Pengurusan Mahkamah Syariah hendaklah terus diperkasa, ditambah baik- Agong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BERA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah agar pengurusan Mahkamah Syariah termasuk kedudukan hakim dan peguam syarie perlu terus diperkasa dan ditambah baik bagi menambah kewibawaan sistem perundangan Islam di negara ini. 

Selain itu, Seri Paduka Baginda bertitah Mahkamah Syariah juga mesti bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam membuat keputusan terutamanya di dalam menyelesaikan kes kekeluargaan dan jenayah syariah. 

“Hakim-hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam syarie turut juga bertanggungjawab secara kolektif dalam memastikan prosiding mahkamah berjalan lancar.

Saya berharap agar lebih  banyak usaha dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah dan institusi Agama Islam yang lain,” titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Bera, yang turut menyaksikan keberangkatan paduka anakanda,  Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Hadir sama Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mohd Amran Mat Zain, Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Walid Abu Hassan dan mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Ketika bertitah, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh mengenai Mahkamah Syariah yang merupakan institusi menegakkan keadilan berlandaskan perundangan Islam selain keberkesanan konsep Sulh atau pendamaian yang telah berupaya menyelesaikan kes kekeluargaan. 

“Sebanyak 85 peratus daripada kes Sulh yang didaftarkan di mahkamah di seluruh negara sejak 2019 hingga 2022 telah berjaya diselesaikan secara damai menerusi prosiding Sulh tanpa proses perbicaraan,” titah Seri Paduka Baginda.

Menyentuh mengenai Mahkamah Syariah Bera yang telah siap dibina pada Jun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM6.5 juta, Seri Paduka Baginda bertitah ia merupakan pengiktirafan kepada institusi Agama Islam dan bukti jelas kepada pembangunan syiar agama di Pahang. 

“Majlis ini membawa pengertian yang bermakna kerana bangunan ini adalah merupakan mercu tanda kepada ketinggian institusi Mahkamah Syariah di negara ini. Saya percaya bangunan mahkamah di Bera ini bakal memainkan peranan besar dalam mentadbir undang-undang Islam khususnya di daerah ini,” titah Seri Paduka Baginda.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri selain semua pihak yang terlibat dalam pembangunan Mahkamah Syariah itu. 

– BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Mesyuarat mingguan hingga 20 Mac selesai isu padi, beras

KUALA LUMPUR: Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta majlis itu

Fahmi ulang jaminan keselamatan sistem PADU

Kerajaan mengulangi jaminan terhadap keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan dakwaan sistem yang mengumpulkan data peribadi rakyat Malaysia itu digodam. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

BERITA TERBARU

Cubaan tiga lelaki curi kereta gagal

KOTA SAMARAHAN: Cubaan tiga lelaki melarikan sebuah kereta di Taman Uni Garden gagal apabila diberkas polis selepas terbabas di Jalan Stutong, pada malam Selasa. Pemangku

Penularan kes denggi di Miri membimbangkan

MIRI: Penularan kes demam denggi di sekitar Miri kini semakin menimbulkan kebimbangan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin. Menurutnya, setakat 24 Februari lalu