
BAKO: Para pengusaha bot penambang di Sarawak, khususnya yang menawarkan khidmat membawa pelancong digesa untuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, dalam masa yang sama sentiasa meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan perkhidmatan kepada penumpang khususnya pelancong asing.
“Pengusaha bot penambang hendaklah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) kerana anda semua menjalankan perniagaan yang membawa penumpang dan pelancong tempatan mahupun luar negara.
“Ini penting supaya kedatangan pelancong akan bertambah dari semasa ke semasa. Dengan pertambahan itu, sudah tentu pendapatan anda akan bertambah. Dalam masa yang sama dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 kepada pengusaha Bot Penambang Sektor Bako di Terminal Bako, di sini, hari ini.
“Anda juga harus sentiasa menjaga standard keselamatan dengan menjadikan pemakaian jaket keselamatan sebagai satu budaya bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan yang disediakan,” ujarnya.
Tambahnya, usaha itu penting memandangkan pada suku pertama tahun ini, sektor pelancongan Sarawak menyaksikan peningkatan kedatangan pelawat sebanyak 80 peratus.

“Ini membuktikan bahawa sektor pelancongan kita sudah beransur pulih, justeru amat penting perkhidmatan anda semua ditingkatkan supaya pelancong akan mempromosikan Sarawak kepada kenalan mereka apabila kembali ke negara asal,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.