Pengusaha kilang patuh arahan

SRI AMAN: Operasi pemantauan dan pemeriksaan kilang yang dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menilai tahap kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) mampu menerapkan norma baharu dalam kalangan pengusaha dan pekerja.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten Huzaimah Ibrahim berkata, pemantauan pada setiap hari sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendapati semuanya berjalan lancar.

“Setakat hampir dua bulan, tiada kesalahan dikenal pasti.

Sebelas pengusaha kilang dan pekerja mengikuti SOP kerajaan,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, pemantauan menjadi lebih mudah apabila mereka memberikan kerjasama penuh.

“Cuma dalam dua ke tiga hari pertama, mereka masih janggal dengan apa-apa yang kita arahkan.

“Namun, selepas itu mereka semakin faham dan akhirnya dapat mematuhi arahan.

“Pendek kata apa yang dilakukan oleh APM selama ini berjaya diterap sebagai norma baharu untuk kebaikan dan keselamatan bersama,” ujarnya.

Huzaimah mengakui, pihak pengusaha kilang berusaha membeli segala peralatan perlindungan diri seperti cecair pembasmi kuman, pelitup muka, penyukat suhu digital bagi memastikan setiap pekerja dalam keadaan sihat dan bersih.

“Selain itu, APM turut menasihati pengusaha kilang agar melarang orang luar memasuki kawasan kilang termasuk membeku pengambilan pekerja baharu terutama tenaga kerja asing.

“Selain itu, tidak membenarkan pekerja berkumpul atau melakukan aktiviti dalam kumpulan besar.

“Pengusaha kilang juga digesa mengasingkan pekerja yang demam atau memiliki simptom, seterusnya segera membuat saringan kesihatan.

“Juga memeriksa suhu pekerja dan senarai individu yang keluar masuk. “Paling penting, memastikan semua pekerja menjaga kebersihan diri, tempat kerja agar sentiasa sihat,” jelasnya.

Antara kawasan yang terlibat ialah Lachau, Melugu, Klauh dan Bandar Simanggang.