ARTIKEL

Pengarah KPDN Negeri Sarawak Matthew Dominic Barin ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan walkabout. FOTO MOHD ALIF NONI

Peniaga disaran patuhi harga yang telah ditetapkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih RM13.6 juta disita ekoran pemeriksaan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas 24,076 premis yang diperiksa di bawah Akta Kawalan Harga Antipencatutan 2011.

Sebanyak 288 kes dihasilkan daripada jumlah keseluruhan premis yang diperiksa di seluruh Sarawak dengan nilai kompaun dikenakan berjumlah RM40,900 sejak 1 Januari hingga 4 April 2024.

Menurut Pengarah KPDN Negeri Sarawak Matthew Dominic Barin, kesalahan yang paling tinggi berlaku membabitkan aduan berkaitan dengan harga terkawal melebihi harga maksimum, selain aduan dalam talian.

“Jadi, kita berharap agar peniaga di seluruh Sarawak dapat mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2024 supaya pengguna dapat menikmati harga yang ditetapkan.

“Untuk makluman, kita akan mempertingkatkan keberadaan anggota dengan menggerakkan seramai 189 anggota penguat kuasa dan 97 pegawai pemantau harga di seluruh Sarawak untuk memantau sepanjang skim perayaan ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sidang Media Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri di Emart Matang, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, SHMMP Hari Raya Puasa 2024 berkuat kuasa selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.

Pengarah KPDN Negeri Sarawak Matthew Dominic Barin menyempurnakan walkabout sempena SHMMP Hari Raya Puasa 2024 di Emart Matang. FOTO MOHD ALIF NONI

Sebanyak 18 jenis barangan harga terkawal diwartakan bagi pelaksanaan skim berkenaan termasuk bawang besar kuning, bawang besar merah import, bawang putih (China), cili kering kerinting, cili merah, daging lembu import, halia tua import, kacang panjang, kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja).

Selain, kelapa parut (runcit sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing), sawi hijau, timun, tomato dah ubi kentang import (China), ikan kembung termasuk ikan mabung (saiz antara 8 hingga 12 ekor setiap kilogram) dan ikan selayang (saiz antara 8 hingga 12 ekor setiap kilogram).

“Pemantauan akan dibuat terhadap barang-barang yang telah ditetapkan dan semua harga barang terkawal akan ditandakan menggunakan berwarna merah jambu,” jelasnya.

Sehubungan itu, KPDN menerusi kenyataan yang dikeluarkan memberitahu tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000 jika menjual harga barangan terkawal melebihi harga maksimum. Manakala, bagi pihak syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 atas kesalahan tersebut.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Justeru, KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran yang sesuai termasuk WhatsApp di talian 019-8488000/019-2794317 atau menerusi portal aduan (e-aduan.kpdn.gov.my) dan lain-lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU