
BINTULU: Polis menahan seorang peniaga dan merampas dadah jenis ketamin dan pil ekstasi dalam serbuan di sebuah rumah di Pearl Garden, di sini, malam tadi.
Suspek lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditangkap kira-kira jam 8 malam, bersama dadah jenis ketamin seberat 92 gram (gm), sembilan paket berisi serbuk disyaki pil ekstasi seberat 322gm dan bungkusan disyaki pil ekstasi seberat 3 kilogram.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, nilai keseluruhan rampasan kesemua dadah itu dianggarkan berjumlah RM88,000.
Selain itu, katanya turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai berjumlah RM6,170 dipercayai hasil aktiviti penjualan dadah.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku kesemua dadah yang dirampas itu adalah miliknya untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Bintulu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hari ini.
Zulkipli menambah ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.
Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini di lokap Balai Polis Pusat Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.