ARTIKEL

Peniaga lebih ramai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RUNGUTAN demi rungutan diterima daripada penjaja yang berniaga di bazar Ramadan.

Tidak seperti tahun sebelum ini, bazar yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa menjadi tumpuan ramai tanpa mengira kaum.

Tahun ini sedikit berbeza, suasana di bazar Ramadan agak lengang.

Saya berkesempatan berbual dengan sahabat lama yang merupakan seorang penjaja di bazar Ramadan.

Sahabat saya ini boleh dianggap sebagai otai bazar Ramadan kerana sudah hampir 20 tahun terlibat dengan hidangan berbuka puasa.

Sejak 20 tahun lepas, dia tidak melepaskan peluang berniaga di bazar Ramadan kecuali semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, sahabat saya ini tetap merungut dengan suasana di bazar Ramadan kali ini.

Walaupun tanpa PKP, urus niaga di bazar Ramadan boleh dianggap malap disebabkan kurangnya pelanggan yang datang.

Pelbagai faktor mendorong kepada kekurangan pelanggan, ia termasuklah kewujudan banyak bazar di kawasan yang berdekatan.

Keadaan ini menyebabkan pelanggan lebih memilih bazar yang berdekatan kediaman mereka.

Situasi yang berlaku sekarang tidak ubah seperti ketika negara dilanda Covid-19 tiga tahun lalu.

Pada masa tersebut, bukan sahaja bazar Ramadan yang kurang mendapat sambutan, malah pasar basah atau pasar awam turut terkena tempias disebabkan ketakutan masyarakat untuk keluar membeli-belah.

Namun ia merupakan sejarah atau cerita tiga tahun lalu ketika Covid-19 mengganas.

Selepas sekatan akibat Covid-19 dilonggarkan, keadaan di bazar Ramadan kali ini hampir sama ketika PKP.

Kekurangan pelanggan yang datang menyebabkan ada kalangan penjaja terpaksa menanggung kerugian disebabkan banyak barang tidak terjual.

Mengambil contoh di bandar raya Kuching, lebih 20 bazar Ramadan dibuka dan keadaan ini menyebabkan kebanyakan pembeli berpecah.

Malah menyebabkan peniaga kelihatan lebih ramai daripada pelanggan.

Keadaan ini menyebabkan peniaga yang menjadikan bazar Ramadan sebagai venue mencari pendapatan tambahan menyambut Aidilfitri terpaksa menggigit jari.

Jika berterusan, sudah pasti penjaja berdepan masalah bukan sahaja menanggung kerugian jualan tetapi juga bayaran tapak berniaga.

Kalau boleh pada masa akan datang, bilangan bazar Ramadan yang dibuka atau diluluskan dikurangkan bagi mengelak situasi peniaga lebih ramai daripada pembeli.

Kurangnya pembeli di bazar Ramadan kali ini mungkin juga didorong sikap berhati-hati kerana mereka terpaksa mengatur perbelanjaan untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak dan untuk menyambut perayaan.

Pada masa akan datang penjaja mungkin boleh mengambil pendekatan berbeza dalam memasarkan barang jualan mereka. 

Mereka tidak lagi boleh hanya menumpukan kepada peniagaan di bazar Ramadan sebaliknya boleh menjalankan urus niaga secara dalam talian.

Kita lihat sekarang kebanyakan peniaga tidak kira menjual pakaian, kasut, perabot, motosikal atau produk makanan menggunakan media sosial secara maksimum bagi menarik hati pelanggan.

Penjaja juga boleh menjalankan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan yang membeli barangan mereka.

Urus niaga yang mengikut peredaran zaman ini sedikit banyak dapat mengelak mereka daripada menanggung kerugian terutama peniaga makanan.

Bukan itu sahaja, barangan jualan mereka juga perlu mempunyai tarikan tersendiri untuk memastikan mereka dapat ‘membeli’ hati pelanggan.

Dalam era kecanggihan teknologi sekarang, peniaga tidak boleh hanya bergantung kepada pelanggan yang datang ke premis sebaliknya perlu mencari pembeli menerusi media sosial.

Sekarang tidak kira tua atau muda, kebanyakan peniaga sudah mula menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram atau TikTok untuk memasarkan produk mereka.

Kita tidak perlu terlalu mahir terhadap sesuatu platform media sosial, cukup kita mengetahui perkara asas.

Penguasaan terhadap platform media sosial boleh diasah dan dipertajamkan menerusi pengalaman serta tindakan berulang kali yang dilakukan.

Sekarang pelbagai bahan bacaan ada dijual berkaitan media sosial di pasaran.

Sekiranya tidak membeli buku, kita mungkin boleh mencari maklumat di Internet.

Untuk menguasai media sosial kita memerlukan ilmu, jika tidak kita boleh menanggung kerugian disebabkan tersilap memilih iklan atau masa untuk memuat naik sesuatu kandungan.

Bukan itu sahaja, pertembungan hari penting seperti pembukaan sekolah, Ramadan dan Aidilfitri turut menyebabkan kebanyakan ibu bapa mengambil sikap berhati-hati ketika berbelanja.

Ibu bapa sudah mengeluarkan wang untuk membayar yuran dan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.

Memasuki Ramadan, sudah pasti ibu bapa perlu merangka semula bajet untuk membeli juadah berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri.

Langkah terbaik ialah menyambut Aidilfitri secara sederhana dan mengikut kemampuan poket sendiri.

Tidak perlulah kita menukar semua baharu terutama perabot atau kelengkapan perayaan.

Kalau boleh berbelanja mengikut kemampuan dan membeli barang yang patut sahaja.

Seperti kelaziman sebelum ini, Aidilfitri bukan masa untuk kita menghabiskan wang ringgit sebaliknya kita perlu terus berjimat dalam berbelanja.

Menyambut Aidilfitri adalah tempoh untuk kita meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa dan bukannya masa untuk kita meratapi baki wang di dalam poket.

Kita perlu juga memikirkan keperluan selepas Aidilfitri – pelbagai perkara masih perlu diberi perhatian termasuk persekolahan anak-anak, perubatan dan perbelanjaan harian.

Tidak salah sekiranya kita merancang bermula dari sekarang bagi mengelak berlaku masalah pada kemudian hari.

Kita mahu sambutan Aidilfitri merupakan hari ceria dan bukan hari untuk berduka.

BERITA LAIN

Sasaran 70 emas realistik

SEBAGAI tuan rumah dan selaku bekas juara tiga kali berturut-turut (1990, 1992 dan 1994), adalah wajar untuk kontinjen Sarawak mengimpikan kejuaraan keempat temasya sukan berprestij

PETROS, PETRONAS dan kejutan gembira

RUPA-RUPANYA masih ada yang tidak berpuas hati apabila Sarawak menggerakkan usaha dan berjaya dalam menuntut haknya terhadap pemilikan padang dan lombong minyak dan gas di

Sihat sebelum sakit

MANFAATKAN lima perkara sebelum lima perkara. Pertama, muda sebelum tua; kedua, sihat sebelum sakit; ketiga, kaya sebelum miskin; keempat, lapang sebelum sibuk dan kelima, hidup

Azam baharu hijrah

NABI Muhammad SAW dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah. Di situ bermula kisah Muhajirin dan Ansar bertaut persaudaraan, dan berkembangnya umat Islam lantaran tersebar ke

Ikhlas belajar

SEBELUM memasuki alam pekerjaan atau mengeluarkan titih peluh menjana pendapatan, sudah pasti terdapat mahasiswa mempunyai perancangan kerjaya sendiri. Ada antara mereka mengidamkan untuk bekerja mengikut

Jutawan 60 tahun

PENGARAH Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Sarawak Aminuddin Abdul Aziz mendedahkan kepada Suara Sarawak — di Sarawak sekitar 1,700 daripada 850,000 pencarum daripada pelbagai

BERITA TERBARU