Peniaga naikkan harga penutup hidung-mulut dikenakan tindakan undang-undang

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga penutup hidung dan mulut, yang mengalami peningkatan permintaan berikutan kebimbangan terhadap penyakit 2019 Novel-Koronavirus.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata KPDNHEP juga telah memeriksa dan memantau premis-premis perniagaan yang menjual topeng muka bagi memastikan pengusaha premis terlibat mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan.

“Setakat ini, 3,101 premis perniagaan telah diperiksa yang merangkumi pemeriksaan topeng muka dan 10 siasatan aduan telah diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP, Jalan Tun Jugah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat lima jenis penutup hidung dan mulut yang ditetapkan sebagai barangan harga terkawal dan mana-mana premis perniagaan yang menjual melebihi harga yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Individu yang gagal mematuhi undang-undang kawalan harga ini boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, katanya.

Chong berkata penutup hidung dan mulut jenis satu lapisan ditetapkan pada harga runcit RM7 sekotak, jenis dua lapisan (RM10 sekotak atau RM0.20 sen seunit), jenis tiga lapisan (RM25 sekotak atau RM0.80 sen seunit), jenis tiga lapisan jenis ikatan ke kepala (RM30 sekotak atau RM0.80 sen seunit) dan jenis N95 (harga borong RM100 sekotak atau RM6.00 seunit).

Beliau berkata pengguna boleh menyalurkan aduan mereka kepada Bilik Gerakan KPDNHEP Sarawak di talian 082-466012 (Kuching), 082-323836 (Sri Aman), 084-657751 (Sarikei), 084-335622 (Sibu), 084- 799678 (Kapit), 085-412862 (Mukah), 086-332176 (Bintulu), 082-412862 (Miri) dan 085- 217414 (Limbang/Lawas). – Bernama

Suara Sarawak