PADAWAN: Seorang peniaga lelaki menanggung kerugian melebihi RM100,000 setelah mengisi satu pautan yang diberikan sindiket penipuan.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa, warga tempatan disuruh menekan dan mengisi pautan tersebut untuk tujuan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan iaitu memberitahu cara dan peluang kepada mangsa untuk melihat kandungan Whatsapps milik orang lain.
“Selepas mangsa mengisi butiran peribadi dan butiran akaun ke dalam pautan tersebut, mangsa disuruh membuat bayaran namun pembayaran tidak berjaya.
“Setelah mangsa membuat semakan penyata akaun, mendapati wang di dalam akaun miliknya telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga dan mangsa mengalami kerugian melebihi RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abang Zainal berkata, melalui siasatan yang dijalankan terhadap kes-kes menggunakan modus operandi ‘Android Package Kit’ (APK) mendapati penjenayah menggunakan laman sosial untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan membersihkan rumah.
Selain tambahnya, turut menawarkan perkhidmatan saluran televisyen berbayar dan yang terkini tawaran peluang untuk melihat kandungan Whatsapp milik orang lain.
Katanya, mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi yang diberikan dan seterusnya menekan dan mengisi butir-butir peribadi dan butiran akaun dalam pautan tersebut.
“Mangsa berminat dan seterusnya memuat turun fail APK yang dihantar menggunakan aplikasi Whatsapps.
“Mangsa dikehendaki untuk memasang aplikasi tersebut di dalam peranti telefon pintar dan membuka akaun bagi membolehkan aplikasi tersebut digunakan,” jelasnya.