Peningkatan harga minyak masak pada kadar rendah

KUCHING: Peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah, walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) telah meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Justeru, katanya ini menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan.
“Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Khairuddin, kementeriannya amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini yang mengaitkannya dengan kenaikan harga MSM.
Katanya data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1 kg.
Manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg.
Beliau menambah dalam masa yang sama, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020.
“Sepanjang 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020.
“Harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019,” jelasnya.
Menjelas lanjut, Mohd Khairuddin berkata harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti permintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia serta pelbagai faktor lain.
“Peningkatan harga MSM ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosio ekonomi pada ketika ini.
“Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh kerajaan,” katanya.

Suara Sarawak