
KUCHING: Terdapat keperluan untuk memperkukuhkan sektor keselamatan makanan memandangkan jumlah populasi dunia diunjurkan akan mencecah lapan bilion, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, anggaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dengan India bakal menggantikan China sebagai negara yang mempunyai paling ramai penduduk akan membuatkan dunia menghadapi kesukaran memperoleh makanan pada masa akan datang.
“Justeru, Sarawak perlu membuat persiapan awal sekiranya berlaku krisis makanan pada masa hadapan akibat pertambahan penduduk dunia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Bersama Delegasi Perniagaan Singapura di sini, malam tadi.
Menjelas lanjut, beliau berkata persiapan ini juga akan memberi peluang kepada Sarawak dan Singapura untuk saling melengkapi.
Katanya, ia akan memperkukuhkan sektor keselamatan makanan apabila menjalin kerjasama strategik bidang berkenaan dengan Singapura.
Sementara itu, Abang Johari berkata daripada anggaran tersebut juga, purata umur penduduk global yang telah direkodkan adalah 78.5 tahun, bermakna ia satu populasi yang semakin tua.
“Jika ini (populasi tertua) berlaku, maka strategi kebajikan perlu dirangka untuk mereka sekali gus perlu menyediakan makanan.
“Kita kena sediakan makanan untuk mereka, barulah urusan kebajikan akan datang. Dengan itu, kita juga perlu mempunyai jururawat yan baik – jururawat untuk menjaga orang-orang ini, dan ketika itulah industri penjagaan kesihatan akan muncul,” katanya.