KUCHING: Peningkatan kutipan zakat oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) sepanjang Ramadan tahun ini membuktikan ekonomi masyarakat Islam di Sarawak berada dalam keadaan yang baik.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut juga dilihat menerusi pembayaran zakat perniagaan oleh agensi-agensi di Sarawak.
“Saya melihat pembayaran zakat perniagaan oleh agensi-agensi juga boleh tahan, seperti Lembaga Pembangunan Lindungan Tanah (LCDA) telah memberi lebih RM2 bilion.
“Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang baharu beroperasi selama empat tahun juga memberi zakat perniagaan RM1 juta, dan terdapat syarikat kita yang lain turut menyumbang ke arah pembayaran zakat ini,” katanya.

(Foto oleh Ramidi Subari)
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Aidilfitri Agensi Islam Sarawak di Dewan Hikmah Kuching, di sini, malam tadi.
Tambahnya, sekiranya keadaan ekonomi masyarakat Islam Sarawak baik sudah tentu pembayaran zakat juga akan semakin bertambah.
“Menurut Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, pada Ramadan lalu kita menerima lebih RM4 juta zakat dalam tempoh satu bulan sahaja.
“Ini memberi bayangan bahawa keadaan ekonomi orang Islam telah meningkat, kita mendoakan agar ia terus meningkat dan akan memberi manfaat kepada kita semua,” ujarnya.
Abang Shibli sebelum ini memaklumkan bahawa
TBS berjaya mengutip sejumlah RM4.05 juta zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini berdasarkan kadar bayaran RM7 untuk setiap individu dan turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada agensi-agensi di negeri ini.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai; Abang Shibli serta wakil yang lain.