SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bekerja sebagai penjaga stor sebuah syarikat mendakwa tertipu sebanyak RM101,200 selepas menyertai satu pelaburan menerusi aplikasi ‘PSLUS’ pada 30 Mei lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas tidak menerima hasil seperti yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis pada semalam.
“Menurut mangsa, dia telah melakukan transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM101,200 ke dalam enam akaun bank berlainan pada pertengahan Jun sehingga awal Julai tahun ini.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah tidak menerima hasil keuntungan pelaburan seperti yang dijanjikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa mengakui tertarik dengan pelaburan menerusi iklan pada laman Facebook lalu berkomunikasi dengan suspek menerusi talian WhatsApp bernombor 621513-447+60.
“Suspek dilaporkan telah menunjukkan bagaimana cara untuk membuat pelaburan di samping memberitahu bahawa mangsa akan mendapat keuntungan yang tinggi mengikut nilai pelaburan yang dibuat,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Jika sabit bersalah suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan dikenakan denda.
Dalam perkembangan sama, Azman menegaskan agar orang ramai untuk lebih berhati-hati dan hanya membuat pelaburan di platform berdaftar.
Di samping itu beliau turut menasihati agar masyarakat membuat semakan senarai syarikat terlebih dahulu menerusi www.bnm.gov.my / BNM Telelink 1-300-88-5465 dan www.sc.com.my menerusi talian (603) 62048999 (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).