BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tasik Biru, Datuk Henry Jinep bertegas enggan masuk campur isu golongan penjaja di pasar komuniti Bau yang diberi notis pengusiran dari tapak jualan pada bulan lepas.
Katanya, meskipun maklum mengenai masalah tersebut namun beliau tidak akan melibatkan diri susulan perkara itu sudah diajukan kepada Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.

“Saya ada nampak juga dalam media sosial berhubung isu yang tular. Mereka sudah bertemu dengan wakil rakyat kita iaitu Ahli Parlimen dan saya memilih untuk tidak melibatkan diri.
“Jadi saya serahkan kepada Ahli Parlimen untuk selesaikan masalah ini sebab kita sama-sama dalam kerajaan, ada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Justeru tidak perlu untuk saya masuk campur.
“Ahli Parlimen kita juga dalam Kerajaan Persekutuan, kalau dia pembangkang lain ceritalah,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tri Tahunan Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Tasik Biru di Dewan Suarah Bau, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran yang tular di Facebook memaklumkan golongan penjaja di pasar komuniti Bau telah diberi notis pengusiran dari bangunan penjaja berkenaan.
Menurut hantaran itu, bangunan tersebut kini sudah dijual kepada syarikat persendirian hingga menyebabkan sebanyak 23 gerai terkesan termasuk lesen mereka tidak akan diperbaharui selepas penghujung Mei 2023.
Henry yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) berkata, sebarang tindakan ke atas bangunan di bawah Majlis Daerah adalah bidang kuasa pihak majlis sendiri.
Disebabkan itu, tegasnya tindakan daripada Majlis Daerah Bau itu tiada kaitan dengan beliau sebagai seorang ahli politik.
“Majlis Daerah mempunyai ahli-ahli majlis tersendiri di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, jadi Adun tidak masuk campur apa sahaja tindakan pihak majlis.
“Apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis adalah keputusan terbaik untuk komuniti dan dipersetujui oleh pihak kementerian, saya tidak dapat mengulas lebih,” ujarnya.