KUCHING: Penjajaran ekonomi kerajaan Persekutuan dan Sarawak diperlukan supaya rancangan Sarawak dapat dijalankan dengan lancar.
Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berkata, fokus ekonomi di peringkat persekutuan dan negeri pada masa ini adalah sama iaitu bertumpu kepada peralihan tenaga.
Tambahan pula, beliau menegaskan bahawa Sarawak mempunyai potensi terbesar di seluruh Malaysia untuk menggerakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam peralihan tenaga serantau.
“Sebab itu saya gembira dengan rancangan Sarawak dalam sektor ini.
Beberapa keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan telah membolehkan Sarawak mempercepatkan beberapa projek besar yang terlibat dalam peralihan tenaga.
“Dengan jajaran dan kerjasama bersepadu antara kedua-dua kerajaan ini, ia akan membolehkan setiap inisiatif yang tertumpu di Sarawak dan kerajaan Persekutuan lebih berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bersama Kerajaan Sarawak di Hotel Hilton, di sini, sebentar tadi.
Rafizi mengulangi bahawa jika Sarawak berjaya mencapai visinya untuk menjadi peneraju peralihan tenaga, Malaysia juga akan berjaya.
Sehubungan itu katanya, ia akan memberi impak yang baik kepada rakyat Sarawak dari segi pekerjaan, gaji dan lebih banyak kuasa beli pengguna pada masa hadapan.