PENJANA segarkan rakyat

KUCHING: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pasti akan menyegarkan kembali rakyat yang sudah lebih dua bulan terpaksa diarah duduk di rumah tanpa bekerja dan gaji, kata Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais.

Pada masa sama, beliau berkata ia akan membolehkan para usahawan kembali berniaga semula dalam apa jua bidang mereka ceburi, selepas terpaksa menutup operasi dan terjejas pendapatan akibat penularan Covid-19.

“Jadi segala bantuan jangka pendek kerajaan ini sama ada dalam bentuk bantuan kewangan dan subsidi akan dapat membolehkan rakyat jelata membeli belah, para usahawan akan boleh memulakan perniagaan dan sekurang-kurangnya dapat menggerakkan rantaian pembekalan dan perniagaan.

“Dengan kata lain, pelan PENJANA ini khas untuk masa terdekat atau pendek ini akan boleh memenuhi hasrat kerajaan untuk memperkasakan rakyat dan melonjakkan sesetengah sektor perniagaan supaya bermula segera dan seterusnya merangsang pembangunan ekonomi negara serta pembangunan ekonomi dalam semua negeri,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Justeru, Naroden memuji inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam membantu rakyat menghadapi situasi Covid-19.

Katanya Muhyiddin telah berupaya membuat tindakan dengan membiayai wang yang begitu banyak untuk kebajikan rakyat seluruh negara dalam masa tidak sampai tiga bulan selepas mengambil alih tampuk kerajaan negara.

“Masa tiga bulan adalah amat pendek sekali tetapi dalam tempoh itu, kepimpinan negara di bawah Muhyiddin berjaya membiayai kewangan yang begitu banyak walaupun ada yang merasa cemburu dan skeptikal dengannya,” katanya.

Beliau menambah begitu juga dengan kerajaan Sarawak di bawah Abang Johari, apabila telah berjaya mengambil tindakan yang agak luar biasa dalam meringankan beban rakyat sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

“Saya berani katakan, kita amat beruntung mempunyai kepimpinan yang amat luar biasa seperti Muhyiddin dan Abang Johari,” katanya.