ARTIKEL

Kredit: Freepik.com

Penjara empat bulan kerana miliki 35 biji telur penyu tanpa kebenaran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap seorang lelaki tempatan kerana memiliki 35 biji telur penyu tanpa kebenaran yang sah daripada pengawal hidupan liar, dua tahun lalu.

Hakim Shafiza Razak menjatuhkan hukuman terhadap Awang Asyraff Awang Ismail Nazarudin, 28, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 37(2)(a), dibaca bersama Seksyen 29(1)(c) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Dia melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Samarahan, sekitar jam 2.15 pagi, 5 Julai 2022.

Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda RM25,000 setiap bahagian haiwan, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, ketika kejadian, sepasukan pegawai hidupan liar dari Perbadanan Hutan Sarawak(SFC) menjalankan pemeriksaan di tempat letak kereta bersebelahan sebuah pusat beli belah.

Pasukan tersebut terserempak dengan sebuah kereta yang mencurigakan lalu menahan tertuduh yang merupakan pemandu kenderaan terbabit.

Pemeriksaan dilakukan mendapati sebungkus beg plastik lut sinar berwarna hijau berisi 35 biji telur penyu.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa Awang Asyraff gagal menunjukkan sebarang dokumentasi kebenaran bertulis daripada pengawal hidupan liar untuk memiliki barang tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Simon Engka Crown dan Leonard Baring manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU