ARTIKEL

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki | Foto: UKAS

Penjawat Awam Sarawak Perlu Kuasai Digital, Literasi Data, Berfikir Secara Kritis Dan Inovatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peranan Perkhidmatan Awam Sarawak kini bukan lagi sekadar pelaksana dasar, sebaliknya berkembang sebagai pemudah cara dan pemacu pembangunan negeri berasaskan data dalam usaha merealisasikan agenda transformasi Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perubahan landskap semasa menuntut warga perkhidmatan awam supaya lebih bersedia menghadapi cabaran baharu menerusi peningkatan kemahiran digital, literasi data serta keupayaan berfikir secara kritis dan inovatif.

“Perkembangan teknologi yang semakin pesat memerlukan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak memiliki kecekalan, kesediaan untuk berubah dan semangat pembelajaran berterusan.” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Sarawak 2026, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa, anggota perkhidmatan awam juga perlu sentiasa mengamalkan prinsip 3R, iaitu Revisit, Rethink and Recharge, sebagai panduan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Ujarnya, komitmen berterusan ini amat penting bagi memastikan sektor awam negeri mampu bergerak seiring tuntutan pendigitalan.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, sambutan Hari Sarawak yang diraikan setiap 22 Julai turut mengimbau detik bersejarah 63 tahun lalu apabila anak jati Sarawak buat pertama kalinya memegang tampuk kepimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak.

“Peristiwa bersejarah ini mengingatkan kita bahawa kejayaan yang dinikmati pada hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah.

“Ia lahir daripada pengorbanan dan penat lelah para pemimpin kita dahulu yang memperjuangkan hak, maruah dan masa depan Sarawak,” jelasnya.

Tambah Abu Bakar, tempoh lima tahun akan datang pastinya membawa pelbagai cabaran, namun beliau yakin Perkhidmatan Awam Sarawak mampu menghadapinya menerusi semangat kerja berpasukan, integriti dan komitmen yang tinggi.

“Kita mampu menghadapi transformasi ini dan memperkukuh peranan Perkhidmatan Awam Sarawak sebagai pemacu utama pembangunan Sarawak,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU