Penjenayah bersenjata api diburu di Dalat

MUKAH: Seorang lelaki kini dikehendaki pihak polis bagi membantu siasatan terhadap kejadian rompakan bersenjata sebuah kenderaan di kawasan Dalat, pada 30 May lalu.

Suspek dikenali sebagai Jose Jawan, 30, dan beralamat di Rumah Juli, Skim Empuru Sekuau, KM 45 Jalan Oya Sibu.

Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian dan kini sedang giat memburu suspek yang masih bebas.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa memberhentikan kenderaannya setelah curiga melihat ada sebuah kenderaan jenis Hilux tersadai di kawasan kejadian.

“Setelah mangsa keluar daripada kenderaan, suspek secara tiba-tiba keluar dari Hilux sambil mengacukan senjata dipercayai senapang patah ke arah mangsa.

“Suspek dilaporkan kemudiannya menghentak muka mangsa ke arah badan kereta sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan milik mangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).

Dedahnya, semakan rekod polis mendapati suspek pernah terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk pecah rumah dan kecurian.

Beliau dalam kenyataan turut meminta orang awam yang mengetahui atau menjumpai suspek untuk segera melaporkan kepada pihak polis.

Ujarnya, laporan boleh disalurkan terus kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat, Insp See Chie Chie di talian 016-6781626 atau 01110135615.