Penjual judi dalam talian warga Indonesia ditahan dalam Ops Dadu

KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia berusia 33 tahun bekerja sebagai penjual judi dalam talian ditahan Polis di sebuah premis di Matang, Batu 9 semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Aidil Bolhassan berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan dibantu oleh dua pegawai Sarawak Energy Berhad telah menjalankan Ops Dadu sekitar jam 12.15 tengah hari.

Kata Aidil, semasa serbuan, anggotanya telah memotong mangga menggunakam pemotong untuk membuka pintu kerana suspek tidak memberi kerjasama.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk menjalankan judi dalam talian.

“Barangan yang dirampas adalah seunit telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM 415,” jelas Aidil dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, suspek telah bekerja hampir sebulan sebagai penjual judi dalam talian.

Tambah Aidil, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan dan suspek serta barangan rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959.

Suara Sarawak