Pentadbiran Biden peluang batalkan sekatan anti-Iran – Pakar

NEW YORK: Seorang pakar politik Amerika mendapati kenyataan Presiden Iran Hassan Rouhani baru-baru ini mengenai perjanjian nuklear 2015 satu perkembangan positif dan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang baharu dilihat bersedia untuk memulihkan perjanjian nuklear.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama IRNA, Ketua Persatuan Kawalan Senjata Daryl Kimball, menyatakan bakal presiden AS menyokong perjanjian itu.

Penganalisis berpangkalan di Washington itu berkata pentadbiran bakal Presiden Joe Biden merupakan peluang penting bagi Iran dan AS untuk melaksanakan komitmen mereka di bawah perjanjian dikenali Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Ucapan terbaru Presiden Rouhani mengenai kesediaan Iran untuk mematuhi komitmen JCPOA disambut baik di AS terutamanya pentadbiran Biden, kata Kimball.

Menurut beliau, Biden mempunyai kuasa eksekutif untuk membatalkan semua sekatan anti-Iran yang dikenakan Presiden Barack Obama pada Januari 2016.

Terdapat kemungkinan pentadbiran Biden menarik balik sekatan bukan nuklear, yang dikenakan Presiden Donald Trump kepada Iran, menurut Kimball, dengan menyebut ia akan menjadi sebahagian perbincangan masa depan antara perunding Iran dan Amerika.

Pakar Amerika itu berpendapat JCPOA masih belum sempurna dan memang tidak boleh kekal; kerana itu, Eropah, Rusia dan China sedar ada isu lain perlu dimasukkan dalam rundingan masa depan.

JCPOA adalah dasar untuk memulai perundingan dan berusaha menyelesaikan masalah antara pihak AS-Eropah dan Iran, katanya.

Iran dan P5 + 1 terdiri Rusia, China, Perancis, United Kingdom dan AS, serta Jerman menandatangani perjanjian nuklear pada 2015.

Namun, pentadbiran Trump menarik diri daripada perjanjian antarabangsa itu dan memberikan tekanan hebat ke atas Iran pada Mei 2018.  — BERNAMA