Pentas terbaik uji pemain

PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan penglibatan pasukan pada Kejohanan Bola Sepak Jemputan Persahabatan 2021 di Johor Baharu bulan depan sebagai landasan terbaik menguji kemampuan pemain.
Menurut Irfan, kejohanan yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 25 Februari turut disertai empat pasukan handalan dari Liga Super 2021 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku tuan rumah, Pahang, Terengganu dan Melaka.
“Ia peluang terbaik untuk menguji kemampuan sebenar pemain kerana seperti mana diketahui kejohanan itu akan disertai empat pasukan handalan dari Liga Super 2021,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau berkata, penyertaan secara langsung mengenal pasti barisan kesebelasan pemain. Menurutnya, aksi kompetitif tersebut amat penting untuk mendedahkan pemain dengan perlawanan sebenar saingan Liga Malaysia.
“Empat pasukan dari Liga Super 2021 menghimpunkan ramai pemain berpengalaman sama ada mereka yang merupakan tonggak skuad kebangsaan selain pemain import luar negara.
“Saya percaya pemain akan memperolehi pengalaman baharu yang secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu permainan mereka nanti,” jelas Irfan lagi.
Skuad Kuching City FC ketika ini menjalani latihan seperti biasa dengan fokus awal lebih terarah kepada pembinaan semula tahap kecergasan selain mempraktikkan latihan teknikal.
Sementara itu, sesi latihan petang semalam turut disertai dua penyerang import dari Brazil, Hudson Dias De Jesus dan Leonardo Alves yang baharu sahaja selesai menjalani proses kuarantin wajib di hotel.