Pentingnya projek kawalan hakisan tebingan Mukah

KUCHING: Projek Kawalan Hakisan Tebingan Mukah yang dirancang dianggarkan sepanjang 1,450 meter dapat mengatasi masalah hakisan sungai di kawasan Mukah.

Adun Tellian Yussibnosh Balo berharap projek tersebut dapatdipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri 2021 setelah usaha untuk mendapatkan peruntukan tersebut tidak berjaya pada belanjawan lalu.

“Saya anggap projek ini sangat penting kerana terdapat rumah penduduk kini berada dalam keadaan tidak selamat disebabkan hakisan sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2021 pada Persidangan Dun pada Khamis.

Mengenai kemudahan jalan raya yang kini dirancang, beliau memaklumkan bahawa jalan menghubungkan SK Bauh Ulu ke SK St. Luke Ng Baoh Ulu Dalat sepanjang 7 kilometer akan dilaksanakan dengan kos anggaran keseluruhan sebanyak RM14 juta.

“Selain itu, Jalan Ulu Sikat/ Sebakong turut dinaik taraf untuk fasa kedua, yang akan melibatkan Rumah Garit, Rumah Adok, Rumah Berik dan Rumah Leda sepanjang 4 kilometer melibatkan peruntukkan RM5.6 juta,” jelasnya.

Bagi bekalan air terawat beliau turut mencadangkan agar penyambungan paip dari paip utama Jalan Selagau-Mukah sepanjang 17.5 kilometer melibatkan lebih 20 rumah panjang, dua sekolah dan sebuah klinik kesihatan dapat dilaksanakan dengan kos RM14.44 juta.

“Ini juga termasuk projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Sungai Arip, Ulu Baoh dan Sebakong,” katanya.

Manakala bagi projek Bekalan Air Altenatif Sarawak (Sawas) sejumlah RM11.750 juta diperuntukkan dan dijangka siap hujung tahun ini yang akan memberikan manfaat kepada penduduk rumah panjang sekitar Ng Baoh, Ulu Dalat.

Suara Sarawak