ARTIKEL

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee. FOTO RAMIDI SUBARI

Penubuhan IPTN masih dalam perbincangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Negeri (IPTN) masih dalam perbincangan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee.

IPTN merupakan universiti atau kolej yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, contohnya di Sarawak – Curtin, Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan lain-lain namun masih tergolong sebagai universiti swasta.

“Semasa perjumpaan kami dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan semua Exco pendidikan negeri di seluruh Malaysia, saya mewakili pihak kementerian untuk membincangkan perkara ini.

“Universiti milik Kerajaan Negeri masih dianggap sebagai swasta dan memberi kesan terhadap sesebuah institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai Kokurikulum dan Pengalaman Pembelajaran (1st International Conference on Co-curricular and Learning Experience – ICCLE) 2024 di Hotel Raia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, antara kesan yang dilihat ialah menerusi salah satu isu yang pernah diangkat mengenai zakat.

“Duit zakat disalurkan kepada universiti untuk kegunaan universiti. Maksudnya, duit zakat itu dicukaikan.

“Justeru, perkara ini akan diperhalus dan KPT akan meneliti sama ada universiti milik kerajaan jika tidak disamakan taraf kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), IPTN akan diwujudkan,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan negeri di seluruh Malaysia mempunyai universiti tersendiri dan perbezaan antara institusi swasta dan awam itu wujud.

“Maka, ini yang sedang dibincangkan di peringkat KPT. Ia masih belum ditentukan dan mereka sedang mencari … sudah tentu ada aspek legal,” katanya.

Sementara, Annuar mendedahkan bahawa status IPTN ini membawa pelbagai manfaat termasuk cukai dan antara lain, saluran geran daripada Kerajaan Persekutuan.

“Jika universiti milik kerajaan ini berada dalam kategori IPTA atau IPTN, mungkin Kerajaan Persekutuan boleh menyalurkan dana yang diperlukan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU