Penubuhan ISP satu-satunya pilihan demi rakyat

KUCHING: Penubuhan syarikat penyedia perkhidmatan Internet (ISP) oleh Kerajaan Sarawak mungkin satu-satunya pilihan untuk menyelesaikan masalah liputan Internet yang teruk di luar bandar.

Timbalan Pengerusi Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) Aidel Lariwoo berkata, ia sekali gus melengkapi menara telekomunikasi yang sedang dibina agar liputan Internet dapat dicapai di segenap pelosok negeri.

“Mendirikan menara sahaja tidak bermakna sekiranya tiada ISP. Sama dengan membeli kereta, ia tidak akan bergerak tanpa bahan bakar di dalamnya,” katanya selaku jurucakap dalam satu kenyataan bersama Penyokong GPS, semalam.

Menjelas lanjut beliau berkata, faktor Kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat telekomunikasi sendiri adalah disebabkan oleh keengganan syarikat telekomunikasi (telco) sedia ada di negara ini untuk menyediakan liputan Internet ke kawasan-kawasan luar bandar.

Justeru katanya, dengan menubuhkan syarikat sendiri, Kerajaan Sarawak secara tidak langsung turut menyediakan pekerjaan kepada lulusan teknologi maklumat (IT) tempatan.

Manakala mengenai persoalan sama ada Sarawak menanggung kos yang besar untuk menubuhkan ISP, Aidel berkata, ia sudah pasti tetapi dalam jangka panjang, ini akan menjadi kecil daripada memberi subsidi kepada telco, yang sudah kaya raya.

“Kita tidak perlu memberi subsidi kepada telco yang sudah duduk di atas timbunan wang tunai untuk memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar Sarawak.

“Sekiranya subsidi dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak, ia harus diberikan kepada rakyat dari segi bayaran Internet yang lebih rendah.

“Ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban mereka untuk membayar caj yang tinggi dikenakan oleh telco tetapi memungkinkan mereka untuk membeli peralatan IT yang lebih baik sama ada komputer riba atau telefon pintar,” katanya.

Suara Sarawak