ARTIKEL

Penubuhan Jawatan RTG antara lambakan pencapaian setahun Hannah bersama KBS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) bagi memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik dan klasifikasi sukan tempur sebagai aktiviti di sekolah, merupakan antara lambakan pencapaian setahun Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dalam memperkukuhkan ekosistem sukan negara.

Menerusi hantaran Facebook Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini, antara pencapaian lain KBS ialah pelepasan cukai yang diperluas meliputi perbelanjaan yuran latihan sukan mulai 2024 dan membangunkan Kod Sukan Selamat, bagi menjamin hak dan kebajikan komuniti sukan.

Selain itu, KBS juga memastikan atlet negara akan menikmati caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula Januari tahun depan, selain telah mewajibkan pegawai pengiring untuk atlet paralimpik negara ke kejohanan antarabangsa, mewujudkan klinik kesihatan wanita pertama untuk atlet dan menyediakan Geran Padanan Sukan RM40 juta.

Pada masa sama, KBS turut meningkatkan bilangan sukan yang layak untuk insentif cukai, mengurangkan birokrasi dalam kelulusan penganjuran acara dan membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan.

Dalam aspek merakyatkan sukan dan fasiliti KBS pula, KBS antaranya telah membuka fasiliti Stadium Nasional di Bukit Jalil kepada sekolah secara percuma untuk hari sukan, program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (Klas Renang) percuma untuk kanak-kanak B40, serta memperluas inisiatif Jualan Sukan Rahmah.

KBS juga mengadakan Hari Terbuka KBS untuk mengurangkan birokrasi dan mempermudahkan urusan untuk rakyat, membantu pasukan kebangsaan mendapatkan fasiliti latihan pusat melalui inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti, dan sumbangan RM1 setiap hasil jualan tiket bagi membantu konservasi Harimau Malaya menerusi kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Hari ini genap setahun sejak saya angkat sumpah menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Bekerja seolah-olah setiap hari merupakan hari terakhir saya di Putrajaya.

365 hari berlalu, berusaha melakukan reformasi yang akan mengubah ekosistem untuk kepentingan kita bersama.

“Saya mempunyai pasukan kakitangan awam yang hebat di KBS, yang bersemangat melakukan perubahan positif untuk memastikan ia berjaya.

Terima kasih tidak terhingga kepada Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Ketua Setiausaha saya Dr Nagu (K. Nagulendran) dan hampir kesemua pegawai di pejabat saya, kerana bersama memikul tugas melaksanakan visi ini,” kata Hannah dalam hantarannya itu.

Hannah turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, atas kepercayaan mereka memberikan beliau peluang untuk memimpin dan berkhidmat.

Sementara itu, hantaran Hannah turut menyentuh pencapaian KBS dalam aspek memperkasakan belia MADANI, antaranya memberi nafas baharu kepada Rakan Muda menerusi 10 gaya hidup dan menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, bermula 1 Jan 2026. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Enam perlawanan ujian awal sri kandi Sarawak

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, Suffian Ibrahim menegaskan enam perlawanan persahabatan bakal diharungi barisan pemain yang berada dalam skuad bayangan ketika ini. Tiga

BERITA TERBARU