Penubuhan MPPN langkah terbaik untuk masa depan negara

KUCHING: Penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) adalah langkah terbaik untuk masa depan negara, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, penubuhan itu tiada piagam atau perjanjian yang ditandatangani malah hanya membincangkan isu-isu penting berkaitan dengan negara dan bagaimana terus maju.

Jelas Karim, penubuhan itu adalah platform yang terbaik untuk semua pihak yang berada dalam PN dan Kerajaan.

“Penubuhan itu tidak akan menimbulkan gabungan kerana ia hanya kerjasama dan tidak terikat daripada sebarang pihak yang menandatangani perjanjian.

“Bahkan Kerajaan Persekutuan kini diterajui oleh gabungan PN, Muafakat Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Jadi, tidak ada kesepakatan, ”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Anugerah Kraf Cemerlang di Dewan Kraf Sarawak hari ini.

Semalam menyaksikan parti-parti dalam Kerajaan PN telah bersepakat untuk membentuk sebuah majlis presiden yang terdiri daripada pemimpin setiap parti sebagai platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengeratkan hubungan di antara pihak-pihak dalam kerajaan.

Suara Sarawak