MUKAH: Penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bukan bertujuan menggugat PETRONAS, sebaliknya menjadi dasar jangka panjang Sarawak untuk mengurus kepentingan minyak dan gas negeri berdasarkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, PETROS ditubuhkan sebaik beliau mengambil alih kepimpinan negeri supaya Sarawak mempunyai entiti sendiri yang boleh berunding, menjalankan kajian serta memahami hala tuju industri tenaga tanpa terlalu bergantung kepada pihak lain.
“Ini dasar panjang kita; bukan saya tamak; ada orang di Semenanjung kata saya tamak, hendak memusnahkan PETRONAS, tidak,” katanya.
“Kita lakukan mengikut hak kita yang ada dalam MA63 dan kita berkongsi bersama; sebab itu saya tubuhkan PETROS mengikut lunas undang-undang dan kita uruskan dengan baik,” katanya pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, PETROS tetap bekerjasama dengan PETRONAS dalam pembangunan industri tenaga negeri dan bukan diwujudkan untuk mengambil alih keseluruhan peranan syarikat minyak nasional itu.
“Ramai orang fikir saya hendak membunuh PETRONAS, PETROS akan mengganggu; tidak, kita berkongsi antara PETRONAS dengan kita,” jelasnya.
“Kalau PETRONAS sahaja, mungkin tumpuannya di tempat lain dan kita mungkin tidak diberi perhatian; sebab itu kita ada entiti sendiri untuk berunding dan mengetahui apa yang berlaku dalam industri dunia,” jelasnya.
Menurutnya, kewujudan PETROS membolehkan Sarawak berunding berdasarkan kepentingan sendiri serta mendapatkan maklumat strategik mengenai perkembangan industri minyak dan gas.
“Apabila saya menubuhkan PETROS, kita boleh berunding mengikut terma kita; kedua, kita tahu kehendak dan masa depan industri ini dan kita boleh membuat kajian sendiri,” katanya.
“Kalau kita bergantung kepada orang lain, kadang-kadang orang lain tidak mahu memberikan maklumat strategik kepada kita; sekarang kita boleh berinteraksi terus dengan mereka,” jelasnya.
Beliau turut mahu PETROS dan PETRONAS bekerjasama dalam pembangunan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), mengambil kira bidang kuasa dan perundangan berkaitan di peringkat negeri serta Persekutuan.
“Hasil yang diperoleh Sarawak daripada sektor minyak dan gas pula perlu dilaburkan semula bagi mengembangkan industri hiliran supaya negeri tidak hanya bergantung kepada penjualan bahan mentah,” ujarnya.
“Apabila kita mempunyai pendapatan, kita laburkan semula untuk sektor hiliran; kalau kita ada bahan mentah, kita gunakannya untuk menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai lebih tinggi,” katanya.
“Malah, pelibatan syarikat seperti Indorama, HICOM dan Sakura turut mencerminkan kemunculan aktiviti industri baharu dan membuka ruang kepada penggunaan bahan mentah tempatan secara lebih bernilai,” ujarnya.
Tambahnya, pengembangan sektor hiliran bukan sahaja dapat meningkatkan nilai sumber Sarawak, malah mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi.
“Perkembangan berkenaan turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga profesional tempatan dalam pelbagai bidang termasuk perundangan, teknikal, korporat dan komunikasi,” katanya.
“Dengan itu kita boleh melahirkan pekerjaan bergaji tinggi; ini mencerminkan permintaan pasaran terhadap tenaga mahir; begitu juga bidang lain; apabila ada pengalaman, peluang itu akan ada,” katanya.
Jelasnya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Sarawak untuk memastikan hasil sumber asli bukan sahaja memberikan pulangan kepada negeri, tetapi turut digunakan bagi membangunkan industri hiliran, memperluas kepakaran tempatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.



